Rabu, 25 Februari 2009

GURU PEMBIMBING GENERASI BANGSA











Di petik dari Khutbah Jumaat
GURU PEMBIMBING GENERASI BANGSA
( 19 Mei 2006 / 21Rabi’ulakhir 1427 H )


اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ رَسَمَ لِلْعِبَادِ طُرُقَ التَّرْبِيَّةِ الصَّحِيْحَةِ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى هذَا النَّبِيَّ الْكَرِيْمِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا الله، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.


Saudara Muslimim sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Dikesempatan yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita sama-sama bersyukur dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Mudah-mudahan dengan segala kurniaan nikmat-Nya akan meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya semoga kita tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat .

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha mencari ilmu pengetahuan di samping berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran dan penguasaan diri dalam pelbagai bidang. Selain itu, ilmu pengetahuan juga merupakan kunci kepada kebahagiaan hidup manusia di dunia, kerana sekiranya kita hidup tanpa ilmu, kemungkinan kita pada hari ini masih lagi berada dalam kemunduran dan kemiskinan. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa ketinggian ilmu pengetahuan merupakan ukuran yang sangat penting dalam membezakan antara kemajuan dan kemunduran bagi sesuatu bangsa dan negara.

kerana itu, Allah s.w.t. telah mewajibkan kita menuntut ilmu sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah Hadis :


" عَنْ أَنَسِ ابْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ وَمُسْلِمَةٍ " .

( Riwayat Ibni Majah )

Maksudnya : " Dari Anas bin Malik r.a. dia berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap Muslim dan muslimat " .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apabila kita berbicara tentang ilmu dan pendidikan bererti sekaligus kita meletakkan para guru dan pendidik sebagai golongan yang amat penting sebagai agen pembangunan dan perubahan minda ummah.

Tugas seorang pendidik bukanlah satu Tugas yang mudah dan bukan boleh dilakukan oleh semua orang. Justeru itu, kerjaya sebagai seorang pendidik dianggap sebagai satu tugas yang sangat mulia dan istemewa. Lebih-lebih lagi dalam era yang penuh mencabar ini, menuntut pengorbanan dan komitmen yang padu dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang, berwibawa dan sentiasa mendapat petunjuk serta keredhaan dari Allah s.w.t.

Kerana itu, kita seharusnya bersyukur di atas pengorbanan dan jasa guru yang telah mendidik serta membimbing kita menjadi manusia yang baik pada hari ini. baik guru yang terlibat secara langsung mendidik kita di sekolah mahupun diperingkat University dan tidak kurang penting juga kepada guru yang mengajar kita mengenal membaca ayat-ayat Al-Quran, fardhu ian dan sebagainya. Tampa bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka kita tidak mempunyai asas yang kuat untuk mengamalkan kefardhuan asas dalam Islam .

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Justeru, sambutan hari guru yang disambut setiap tahun merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan serta komitmen warga pendidik dalam mengembeling tenaga membentuk anak-anak bangsa menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara .
Pada hari ini kita semua tidak dapat menafikan bahawa perubahan terus berlaku, tanggungjawab dan peranan pendidik sememangnya mencabar berbanding era sebelumnya. Kesan globalisasi dan perkembangan ICT menuntut semua warga pendidik berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mempunyai jati diri, dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global.

Menyedari hakikat inilah, maka pelbagai usaha dan program telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan mutu dan kualiti pendidikan sentiasa berada ditahap yang terbaik. selaras dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang berilmu, bertamadun dan maju. Maka satu pendekatan baru diperkenalkan iaitu " Mewujudkan Sekolah Bestari " yang menggabungkan sistem pendidikan bersepadu .

Sidang Jumaat yang dikasihani sekelian,

Justeru itu, peranan pendidik bukan sahaja mengajar subjek yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, tatapi mereka juga bertindak mendidik minda dan membina syahsiah pelajar. kita sedar bahwa masa depan pelajar, masa depan bangsa dan negara adalah berkait rapat dengan corak didikan guru pada hari ini. Kerana itu, guru sebagai agen perubah minda adalah sangat dituntut agar menguasai pelbagai kemahiran demi mencapai wawasan negara khususnya dalam era revolusi maklumat dan teknologi masa kini.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Pada kesempatan ini, mimbar Jumaat ingin menyeru seluruh warga pendidik dan semua orang agar sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dari masa kesemasa, kerana kita sedar bahawa ilmu yang ada pada diri kita ini sebenarnya hanyalah sedikit. Ini jelas sebagaimana firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat : 109 :

Maksudnya : " Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan".

Dari ayat tersebut, gelas menunjukkan bahawa ilmu itu sangat luas dan banyak yang perlu diterokai. Maka jalan terbaik untuk meluaskan penguasaan ilmu pengetahuan ialah dengan belajar dan menuntut ilmu secara berterusan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sawajarnya mereka dihormati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Oleh itu, marilah sama-sama kita berdoa kehadrat s.w.t. agar mereka yang telah mendidik kita baik dari kalangan ibu bapa mahupun guru-guru mendapat rahmat dan pertolongan s.w.t. sepanjang masa. Manakala bagi guru-guru yang telah kembali rahmatullah sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat s.w.t. Manakala bagi pelajar-pelajar hendaklah sentiasa menghormati para guru dan tahu membalas budi guru dengan menjaga adab-adab yang diajar oleh Islam diantaranya :

1. Pelajar hendaklah mendahului memberi salam apabila bertemu dengan guru.

2. Pelajar hendaklah menjaga maruah guru dan jangan sekali-kali cuba mencari kesilapan dan keaiban guru.

3. Hendaklah bersikap sopan apabila bercakap dengan guru.

4. Tidakmembantah atau melawan arahan guru serta jangan menyakiti hati guru bagi mendapatkan keberkatan ilmu yang dipelajari.

Sidang Jumaat yang dikasihani sekelian,

Berkah usaha dan pengorbanan para guru ini akan dapat melahirkan generasi ummah khususnya belia yang mantap dari segi akidah dan akhlak serta mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara dimasa akan datang .

Sebenarnya generasi belia yang mendapat pendidikan dengan sempurna merupakan harapan kita semua kerana merekalah yang bakal menggantikan para pemimpin dimasa akan datang. Kerana itulah Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi seorang pemikir Islam yang tersohor dan disegani pernah berkata bahwa generasi belia yang berilmu, berakhlak dan berhemah tinggi akan dapat membentuk sebuah negara yang maju serta aman makmur .

Menyedari hakikat ini, seharusnya peranan dan tanggungjawab pendidik serta belia terutamanya dalam menjana pembangunan negara perlu digerakkan. Kerana itu, kita selaku ibu bapa dan warga pendidik perlu menyedarkan golongan pelajar yang mencapai peringkat belia agar tidak menghabiskan masa dengan berfoya-foya dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dengan memberi penekanan bahawa golongan belia sepatutnya berperanan menyumbang idea dan tenaga kearah pembangunan modal insan untuk menjadikan kita bangsa yang dihormati dan disegani dipersada dunia.


Justeru itulah, generasi belia yang telah mendapat pendidikan tinggi pada hari ini perlu memperlengkapkan lagi diri mereka dengan berbagai persiapan merangkumi aspek rohani dan jasmani agar mereka tidak hilang jati diri serta sentiasa mendapat pertolongan dan keredaan dari Allah sepanjang masa. Adalah diharapkan apabila golongan pelajar ini keluar dalam masyarakat menjadikan diri mereka sebagai golongan belia yang bertaqwa, berakhlak mulia dan berupaya menyumbangkan jiwa dan raga kepada pembangunan dan kemakmuran negara.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

2 ulasan:

Khasbullah berkata...

Info yang bagus...

Tanpa Nama berkata...

bagi lagi info